KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) komited dalam melaksanakan agenda pemulihan ekonomi bagi industri pembinaan dengan bekerja bersama-sama rakyat, seperti saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam ucapan pembentukan Kabinet Jumaat lalu.
Menteri Kanan KKR, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dalam Mesyuarat Kabinet hari ini, Perdana Menteri telah mengarahkan semua kementerian supaya menetapkan sasaran dan program yang hendak dilaksanakan dalam tempoh dua minggu ini.
“Ia meliputi sasaran untuk jangka pendek dan jangka panjang berorientasikan pencapaian keberhasilan, bagi membuktikan pencapaian awal 100 hari pertama seperti ditetapkan.
“Susulan itu, dalam mesyuarat Poskab pertama hari ini, saya telah meminta pengurusan KKR supaya menetapkan indeks prestasi utama (KPI), bagaimana untuk kita memastikan semua projek dapat dilaksanakan segera dan memudah cara proses pelaksanaannya demi memulihkan ekonomi secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, semua peringkat dalam KKR dan agensinya perlu peka dengan keperluan semasa dalam bekerja bersama rakyat.
“Contohnya, memfokuskan kepada peningkatan infra rakyat dari segi jaringan keterhubungan (connectivity) dan juga keselesaan serta keselamatan.
“Justeru, tumpuan akan terus diberikan kepada projek seperti Pan Borneo Sarawak dan Pan Borneo Sabah serta Central Spine Road (CSR), selain projek-projek jalan lain yang berada di bawah bidang kuasa KKR,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti